Penang Peace Learning Centre (PLC)

13:15:00



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Terima kasih atas sokongan dan bantuan anda selama ini kepada sekolah yang ditubuhkan dalam membantu pelajar-pelajar Rohingya di Pulau Pinang di @Penang Peace Learning Centre (PLC).

Secara umumnya sekolah ini adalah pusat pembelajaran untuk anak-anak pelarian Rohingya di kawasan berhampiran USM/Gelugor Pulau Pinang. Terma paling tepat untuknya adalah Learning Centre kerana perkataan sekolah tidak dibenarkan untuk digunapakai oleh kementerian pendidikan.

Pusat ini bermula sebagai tempat pembelajaran hujung minggu pada March 2013. Ianya dimulakan oleh Profesor Dr. Kamarulzaman Askandar, Pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai satu usaha untuk memberi peluang kepada pelajar USM belajar tentang kesusahan masyarakat pelarian disamping menyumbang kepada masalah pendidikan untuk anak-anak pelarian Rohingya. Kelas diadakan pada hujung minggu dikendalikan oleh pelajar USM yang menyumbang waktu hujung minggu mereka. Semua kos termasuk buku, kertas dan lain-lain adalah sumbangan rakan-rakan dan pelajar.

Selepas beberapa ketika, ibubapa kepada pelajar Rohingya telah memohon agar sekolah ini dijadikan sekolah harian memandangkan pelajaran anak-anak mereka memerlukan lebih banyak pembelajaran dan dua hari dihujung minggu tidak cukup. Disamping itu bilangan pelajar juga telah meningkat kepada lebih kurang 70 orang pelajar dan memerlukan tempat dan ruang yang lebih besar. Pada ketika itu kami hanya menggunakan ruang di markas tabligh Rohingya di Gelugor tanpa perlu membayar sewa. Mencari dan berpindah ke tempat baru memerlukan dana yang kami tiada.



Tetapi akhirnya demi anak-anak Rohingya tersebut, kami bertekad mencari tempat baru dan berpindah ke tempat kami sekarang ini di Minden Heights, dengan terpaksa membayar sewa yang agak tinggi. Sekali lagi sumbangan dari rakan dan keluarga yang banyak membantu sepanjang perjalanan aktiviti pembelajaran ini. Tempat baru untuk Pusat ini sesuai untuk kami melakukan segala aktiviti pembelajaran. Kami juga akhirnya menggaji 3 orang guru untuk menggantikan pelajar USM yang telah tamat pengajian. Dengan adanya guru tetap, proses pembelajaran menjadi lebih lancar. Kami juga bernasib baik kerana mendapat sedikit bantuan dari pihak United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) untuk membayar separuh dari gaji guru-guru kami serta pemberian buku serta alatan persekolahan lain. Lain-lain kos masih di bawah tanggungan kami.

Dari masa ke semasa kami juga mendapat volunteers yang terdiri dari pelajar universiti dari dalam dan luar negara yang membuat internship di Pusat ini. Mereka banyak membantu kami mengurangkan kos membayar gaji kepada guru. Kami juga telah pernah mendapat sumbangan dari pihak tertentu termasuk mesin jahit. Ini telah kami manafaatkan untuk membuat kelas menjahit kepada kaum wanita Rohinya supaya mereka dapat menggunakan kemahiran ini untuk menjana pendapatan sampingan keluarga.

Disamping itu, kami juga berkerjasama dengan beberapa misi perubatan seperti Hope Clinic dan Medicine san Frontiers untuk memberikan rawatan dan ubat-ubatan percuma kepada komuniti pelarian dan penduduk tempatan di sekitar kawasan ini. Pelajar-pelajar sekolah ini juga terlibat dalam bebarapa aktiviti yang telah pernah dianjurkan oleh UNHCR termasuk pertandingan kebudayaan dan futsal. Malah, seramai 4 orang pelajar dari pusat ini telah dihantar untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai calon persendirian di Sentol, Kuala Lumpur dengan bantuan dari UNHCR pada tahun 2016.

Kami merasakan bahawa walaupun sekolah ini serba kekurangan, tapi kami telah mencuba melakukan yang terbaik untuk meringankan beban anak-anak pelarian Rohingya di kawasan ini. Anak-anak perlu belajar. Mereka perlu merasakan hidup sebagia seorang pelajar, pergi bersekolah. Mereka hanya kanak-kanak, bukan hanya menuntut ilmu, tetapi juga bersosial dengan pelajar lain. Bermain dalam pasukan dan sebagainya. Ini penting sebagai seorang kanak-kanak. Kami tidak mampu menyediakan lebih dari apa yang kami sediakan sekarang kepada mereka. Tetapi kami tiada pilihan. Mereka juga tiada pilihan.

Di Penang Peace Learning Centre, kami hanya memberikan pelajaran asas di peringkat sekolah rendah. Kami tidak mampu untuk menyediakan sekolah menengah kepada mereka. Kami cuba mengikut silibus pelajaran Malaysia sebaik mungkin tapi kami tidak mampu memberikan pendidikan formal kepada mereka. Mereka perlu pergi ke sekolah yang betul dan formal dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan universiti. Mereka anak-anak cerdik dengan bercita-cita tinggi. Tetapi mereka juga pelarian yang tidak mempunyai peluang untuk memdapatkan ini semua. Bagi kebanyakan mereka, mereka tiada pilihan kecuali belajar di Pusat ini. Ini meletakkan kami dalam keadaan tiada pilihan juga kecuali meneruskan Pusat ini, sekolah mereka, untuk mereka. Walaupun dengan segala kekurangan yang ada pada kami. Kami sebenarnya tidak pandai dalam hal ini dan belajar melalui pengalaman. Kami juga tidak pandai mencari dana disamping tidak kaya. Tapi kami bernasib baik mempunyai ahli keluarga, rakan-rakan, pelajar, serta komuniti yang ingin menyumbang kepada Pusat ini.



Pusat ini menjadi platform kepada mereka yang ingin berbakti kepada masyarakat pelarian, khususnya anak-anak pelarian Rohingya. Tanpa bantuan dari semua yang berkenaan ini kami pasti telah terpaksa 'tutup kedai' lama dulu. Tapi kami masih di sini. Masih ada antara 60 hingga 70 orang pelajar yang datang setiap hari. Masih ada guru dan interns kami yang berdedikasi melakukan kerja dengan gaji yang minimum atau tiada gaji. Interns tidak mendapat gaji di sini.

Semua staf yang lain yang membantu adalah dengan secara sukarela. Hanya guru yang berbayar. Tapi kami masih di sini. Sampai bila..??, masih belum pasti. Beberapa kali ada hasrat untuk menutup Pusat ini tetapi bila memikirkan ke mana akan pergi anak-anak ini untuk belajar dan berkumpul sebagai kanak-kanak normal, hasrat menutup akan dengan sendirinya tertutup.

Sekali lagi, terima kasih atas sumbangan dan sokongan anda selama ini. Pusat ini adalah Pusat kita semua. Kami berbesar hati jika ada pihak yang  ingin membantu dari segi apa sekali pun. Kalau tiada sumbangan pun tidak apa. Cukup hanya sekadar dapat mendengar cerita kami dan sebarkan keprihatinan kepada sebanyak yang mungkin dalam masyarakat kita. Supaya mereka juga  tergerak untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik di kalangan kita.

Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, bolehlah terus menghubungi wakil kami di :
Norazrina Md Jabarullah : 012-5516891/
 Prof. Dr. Kamarulzaman Askandar : 012-4235327 /
 Dr. Sofea Ayesah : 012-4107502 /
 Dewi Karina : 012-4208054/
 En. Abdul Fareed Abdul Gafoorr  : 012-4005644.

Terima kasih. Assalamualaikum.


Be Calm and Make PEACE

You can't separate peace from freedom because no one can be at peace unless he has his freedom. (X)

You Might Also Like

1 budak baik

Terima kasih sebab sudi membaca :)
Komen anda, amat saya hargai .